Alor Setar: Seorang anggota polis berpangkat sarjan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM1,500, tiga tahun lalu.
Muhamad Fitry Ismail, 32, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Hakim kemudian memerintahkan denda dibayar serta-merta sepenuhnya, dengan tertuduh diarah menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal berbuat demikian.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Fitry menerima rasuah RM1,500 daripada seorang lelaki di pintu masuk utama ibu pejabat polis daerah Kubang Pasu pada 11.34 malam pada 11 November 2020.
Wang itu didakwa diterima untuk dirinya sendiri dengan tiada balasan yang mana tertuduh mengetahui bahawa pemberian itu adalah sebagai satu dorongan berhubung dengan kerja-kerja rasminya
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rehab Abdul Shukur mengendalikan pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.
Tertuduh kemudian membayar denda yang ditetapkan
Sumber: Harian Metro