Sarjan polis tidak mengaku terima rasuah

Tarikh: 27/06/2023
img

SEREMBAN: Seorang anggota polis berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM1,000 bagi kes yang sedang disiasat, dua tahun lalu.

 

Tertuduh, Mohamad Khairol Fazli Mohd. Azali, 33, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed.

 

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Sarjan Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa menyetuju terima wang untuk dirinya sebanyak RM1,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki yang mana tertuduh mengetahui bahawa lelaki itu dan rakannya adalah suspek dalam kes yang sedang disiasat olehnya.

 

Kesalahan itu dilakukan di sebuah gerai di Pekan Lukut, Port Dickson pada pukul 5 petang, 9 Disember 2021.

 

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Mohammad Azriff Firdaus Mohammad Ali menawarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh.

 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan yang rendah atas alasan tiada wang perbelanjaan rumah selain mempunyai dua orang anak yang masih kecil.

 

“Seorang anak saya masih sekolah manakala seorang lagi menerima rawatan masalah ‘speech delay’ (lambat bertutur),” katanya.

 

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Port Dickson sekali sebulan sehingga kes selesai.

 

 

Sumber: Utusan Malaysia

MACC FM
My Anti-Corruption Channel