PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman menyifatkan bulan pertamanya menerajui agensi itu sebagai satu cabaran susulan perbezaan skop tugas berbanding latar belakang kerjayanya sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau berkata setiap individu yang diberikan amanah perlu memikul tanggungjawab terbabit dan tidak boleh mengelak daripada cabaran yang dihadapi.
"Seperti yang anda tahu, latar belakang saya sebelum ini adalah lain daripada skop yang saya kendalikan sekarang ini.
"Bagi saya, ia satu cabaran dan kita di peringkat apa sekalipun perlu memikul cabaran terbabit. Kita tidak boleh lari daripada cabaran itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cabaran dilaluinya sepanjang sebulan bergelar Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Abd Halim berkata, beliau berharap dapat membawa penambahbaikan kepada SPRM keseluruhannya.
Bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu secara rasmi memulakan tugas pada 13 Mei lalu selepas pelantikannya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Beliau mengambil alih jawatan daripada Tan Sri Azam Baki yang bersara pada 12 Mei lalu selepas berkhidmat selama 42 tahun dalam agensi antirasuah berkenaan.
Sejak memegang jawatan berkenaan, Abd Halim menekankan usaha memperkukuh integriti, menambah baik tadbir urus serta meningkatkan keyakinan awam terhadap SPRM di samping mengekalkan pendirian tegas dalam membanteras rasuah.
Sumber : Berita
Harian Online