Kuala Lumpur: Seiring dengan wawasan Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, pembanterasan rasuah menjadi agenda nasional yang sentiasa menjadi keutamaan di setiap peringkat pelaksanaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, sejak sekian lama negara mengisytiharkan perang terhadap jenayah rasuah.
Menurutnya, kesan buruk rasuah mengakibatkan kerugian besar kepada kemakmuran ekonomi dan rakyat Malaysia.
"Rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan hak rakyat serta berlakunya ketirisan sumber dan hasil negara.
"Selain itu, rasuah juga menjadi satu ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara.
"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kawalan sempadan dan pintu masuk menjadi isu keselamatan yang kritikal merangkumi isu penyeludupan barang terlarang atau bersubsidi mahupun kemasukan pendatang asing secara haram ke negara kita," katanya.
Azam berkata, SPRM sudah mengenalpasti tiga sektor utama yang berisiko tinggi terdedah kepada kesalahan rasuah dan salahguna kuasa iaitu Penguatkuasaan, Perolehan dan Grand Corruption.
"Berdasarkan kepada statistik SPRM, dari 2019 hingga 2023, lebih kurang 48 peratus daripada maklumat berkaitan rasuah yang diterima oleh SPRM adalah berkaitan dengan sektor Penguatkuasaan dan Perolehan.
"Oleh yang demikian, fokus SPRM akan terus dilipatgandakan terhadap ketiga-ketiga sektor ini di samping isu-isu lain yang muncul seperti pendanaan awam, syarikat amanah dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata, selain daripada tindakan operasi yang memfokuskan strategi mengurangkan ketirisan dana negara, SPRM juga komited dalam menangani kesalahan rasuah dan salahguna kuasa melalui pengukuhan tatakelola serta tadbir urus di semua peringkat
Sumber: Harian Metro