Selepas 13 jam semalam, SPRM sambung rakam keterangan pegawai tertinggi ATM hari ini

Tarikh: 12/01/2026
img

KUALA LUMPUR: Seorang Panglima Tentera yang dilepaskan tengah malam tadi sebaik selesai dirakam keterangan berhubung isu salah guna dana, dijangka hadir sekali lagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, pagi ini.

Difahamkan, pegawai tertinggi tentera berusia lingkungan 60-an itu akan hadir jam 10 pagi ini.

Semalam, pegawai tertinggi tentera itu diambil keterangan kira-kira 13 jam selepas hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, jam 11 pagi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan, pegawai penyiasat masih memerlukan keterangan panglima itu dalam membantu siasatan kes berkenaan.

"SPRM melepaskan beliau tengah malam tadi, namun keterangannya akan disambung pagi ini," katanya ringkas kepada BH.

Semalam BH melaporkan, Panglima Tentera berkenaan menjadi pegawai tertinggi kedua disiasat SPRM dalam tempoh sebulan ini, berhubung aktiviti rasuah dalam agensi pertahanan utama negara itu.

Sebelum ini, BH mendedahkan, seorang lagi pegawai tertinggi dalam ATM kini berada dalam radar siasatan SPRM kerana dipercayai terpalit dengan skandal rasuah dalam pasukan keselamatan itu.

Difahamkan, SPRM ketika ini sudah mula menjalankan siasatan terhadap individu terbabit dan suspek yang berusia lingkungan lewat 50-an akan dipanggil agensi antirasuah dalam tempoh terdekat ini.

Pegawai itu menjadi pegawai tertinggi kedua yang akan disiasat agensi antirasuah itu dalam tempoh terdekat ini.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel