KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam memutuskan bahawa Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab terhadap kerugian AS$1.3 bilion yang dialami SRC International Sdn Bhd, selepas didapati melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.
Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin membuat keputusan itu selepas membenarkan saman sivil difailkan SRC International berjumlah AS$1.18 bilion dan mengarahkan Najib membayar jumlah berkenaan, selain AS$120 juta yang diterimanya daripada syarikat terbabit ke dalam akaun AmPrivate Banking dengan nombor berakhir 964, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan AS$1.3 bilion.
Bagaimanapun, mahkamah akan menentukan kos pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Najib salah guna jawatan
Dalam penghakimannya, Ahmad Fairuz yang kini adalah hakim Mahkamah Rayuan berkata mahkamah mendapati Najib telah menyalahgunakan jawatannya, sekali gus membolehkan SRC memperoleh pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWAP) di bawah jaminan kerajaan.
"Penyalahgunaan kuasa membolehkan penyaluran terus RM3.6 bilion ke luar negara tanpa pengawasan sewajarnya, menimbulkan kerisauan mengenai pengurusan kewangan. Perbuatan itu mengakibatkan penyelewengan AS$1.1 bilion melalui struktur pelaburan palsu.
"Akibatnya, SRC gagal membayar balik pinjaman awam, sekali gus memerlukan kerajaan menyediakan suntikan kewangan RM600 juta bagi menampung kerugian," kata hakim itu, sambil menambah bahawa Najib tidak mengambil sebarang langkah untuk menjamin dana berkenaan dan tidak pernah memerintahkan sebarang siasatan terhadap transaksi tersebut.
SRC pinjam RM4 bilion atas alasan tak sah
Ahmad Fairuz berkata, mahkamah turut mendapati sekiranya Najib tidak menyalahgunakan jawatannya, SRC tidak akan memperoleh pinjaman RM4 bilion atas alasan tidak sah, menyalurkan RM3.6 bilion ke luar negara melalui struktur palsu, atau mengalami kerugian AS$1.2 bilion akibat penyelewengan dana.
"Penyalahgunaan kuasa Najib adalah punca langsung dan berkesan terhadap kerugian dialami SRC. Pengaturannya terhadap skim tersebut daripada peringkat permulaan hingga penyaluran dana membentuk rangkaian sebab-akibat yang jelas dan lengkap, menjadikan beliau sepenuhnya bertanggungjawab atas kerugian dialami SRC," menurut hakim itu.
Beliau berkata, SRC berjaya membuktikan, berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa sebahagian dana syarikat iaitu AS$120 juta dipindahkan daripada SRC ke SRC BVI, kemudian ke Blackstone, dan akhirnya ke akaun Najib.
"Setiap pautan dalam rangkaian itu disokong dokumen lengkap yang menunjukkan butiran transaksi kritikal. Daripada penjelasannya, mahkamah dapat menjejak dengan jelas bila AS$120 juta dipindahkan, melalui entiti mana, dan di mana ia berakhir," katanya.
Tuntutan Najib terhadap pihak ketiga ditolak
Sementara itu, tuntutan Najib terhadap defendan pihak ketiga ditolak berserta kos, selepas mahkamah mendapati bahawa sebagai pihak mengawal syarikat, beliau tidak boleh memindahkan tanggungjawab kepada individu diarahkan, semata-mata kerana mereka melaksanakan dokumen yang merealisasikan keputusannya.
"Undang-undang mengenai sumbangan pihak ketiga dan indemniti tidak berfungsi sebagai mekanisme bagi pihak melakukan kesalahan utama untuk melepaskan dirinya daripada tanggungjawab yang telah ditetapkan dengan memindahkan kesalahan secara sewenang-wenangnya melalui pembabitan pihak ketiga," menurut hakim itu.
Sejurus selepas penghakiman disampaikan, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan semalam serta memohon penangguhan pembayaran dalam tempoh 14 hari.
Mahkamah kemudiannya membenarkan perintah penangguhan sementara itu. Peguam Datuk Lim Chee Wee mewakili SRC, dan Najib hadir pada prosiding hari ini.
SRC memulakan saman pada Mei 2021, mendakwa Najib telah melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.
SRC menamakan Najib serta enam bekas bekas pengarahnya Datuk Suboh Md Yassin, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Che Abdullah@Eashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.
SRC kekalkan nama Najib dan Nik Faisal sebagai defendan
Bagaimanapun, kemudian, SRC mengeluarkan enam nama daripada saman tersebut dan mengekalkan Najib serta Nik Faisal sebagai defendan pertama dan kedua. Pada 2021, satu penghakiman ingkar telah dibuat terhadap Nik Faisal, menjadikan Najib sebagai satu-satunya defendan. Najib kemudiannya menamakan bekas pengarah SRC sebagai responden pihak ketiga.
SRC menuntut ganti rugi, faedah, kos dan deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab terhadap kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya, dan menuntut Najib membayar balik kerugian USD1.18 bilion yang dialaminya.
Ia juga menuntut AS$120 juta dan AS$2 juta masing-masing daripada Najib dan Nik Faisal, atas pelanggaran tugas dan pecah amanah.
Sumber : Berita Harian Online