Seleweng dana RM1.5 Juta: SPRM akan panggil 11 lagi individu beri keterangan

Tarikh: 13/08/2024
img

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil 11 lagi individu bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana RM1.5 juta milik sebuah syarikat tersenarai awam.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Buletin TV3 berkata, ketika ini siasatan baru bermula dan terdapat 11 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan.


Manakala, sejumlah 11 lagi saksi yang dikenal pasti akan dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan.


“Siasatan  baru bermula, setakat ni kita memanggil 11 saksi dijangka kita akan memanggil lagi dalam masa terdekat ni dalam lebih kurang 11 saksi lagi  yang terdiri daripada pihak-pihak terlibat.


“Ia melibatkan projek yang mana antara pihak syarikat ini dengan pihak satu lagi, ada dua pihak terlibat dan kita sedang melihat kepada kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan juga pecah amanah,” katanya.


Khamis lalu, SPRM menahan reman tiga individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO), kerana disyaki menyeleweng dana RM1.5 juta milik sebuah syarikat tersenarai awam.


Penahanan reman itu juga berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan projek pembinaan dan perlombongan bernilai RM80 juta.


Hasil siasatan awal juga mendapati kesemua suspek dipercayai terbabit dalam penubuhan sebuah syarikat tidak diluluskan ahli lembaga pengarah, bagi tujuan menjalankan projek kerjasama bernilai kira-kira RM258 juta selain disyaki terlibat menyeleweng dana kutipan sewaan hartanah milik syarikat bernilai RM3 juta.


Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.


Sumber: Buletin TV3

MACC FM
My Anti-Corruption Channel