Seleweng diesel di Sibu, lelaki bergelar Datuk antara ditahan

Tarikh: 09/10/2024
img

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang bergelar Datuk kerana dipercayai memberi rasuah kepada pegawai sebuah agensi penguat kuasa dalam kes penyelewengan diesel bersubsidi di Sibu.


Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 60-an itu dipercayai memberi rasuah kepada beberapa penguat kuasa sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat tempat mereka bekerja yang dipercayai menyeleweng diesel bersubsidi.


"Kedua-dua suspek lelaki dan wanita itu masing-masing berjawatan sebagai pengerusi dan pengarah sebuah syarikat yang menguruskan pembelian dan penjualan diesel bersubsidi.


"Namun, mereka disyaki menyeleweng diesel bersubsidi dengan menyeludup dan menjual kepada pihak luar serta bagi melindungi kegiatan itu, mereka dipercayai memberi wang rasuah kepada beberapa penguat kuasa," katanya.


Menurut sumber, seorang suspek ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sibu manakala seorang lagi ditahan di sebuah pusat perubatan di daerah ini kira-kira jam 11.20 pagi tadi hingga 12.30 tengah hari, hari ini.


Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.


"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. Kedua-dua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dikehendaki membayar wang jaminan RM50,000 tunai dan RM50,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin," katanya.


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel