JOHOR BAHRU: Tiga pegawai Jabatan Imigresen dan dua orang awam direman lima hari selepas disyaki meminta dan menerima rasuah untuk penyeludupan masuk warga asing menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini.
Perintah reman itu dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar, Nurkhalida Farhana Abu Bakar selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.
Kelima-lima tertuduh direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut
BH hari ini melaporkan tiga pegawai Jabatan Imigresen dan dua orang awam ditahan di sini, semalam selepas disyaki meminta dan menerima rasuah untuk menyeludup masuk warga asing menerusi LTAS.
Menurut sumber SPRM, kelima-lima suspek itu membabitkan empat lelaki dan seorang perempuan berusia antara 35 hingga 46 tahun.
Katanya, penahanan itu berhasil menerusi kerjasama antara SPRM Johor dengan Unit Integriti Imigresen Johor.
"Tiga pegawai imigresen yang bertugas di LTAS dan dua orang awam itu ditahan kira-kira jam 5 petang hingga 11 malam semalam secara berasingan di Pejabat SPRM Johor dan di Larkin, Johor Bahru, " katanya.
Sumber itu berkata, pasukan integriti Imigresen Johor sebelum itu membuat pemeriksaan pematuhan integriti berkala di LTAS dan memeriksa telefon bimbit milik pegawai sedang bertugas.
Katanya, mereka kemudian menjumpai beberapa pesanan ringkas menerusi aplikasi Whatsapp dalam telefon bimbit pegawai.
"Ia mengandungi penawaran dan penerimaan wang rasuah daripada warga asing yang ingin memasuki Malaysia melalui pegawai-pegawai imigresen berkenaan bagi membantu menerima masuk warga asing tanpa melalui proses dan prosedur yang betul mengikut Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Bil. 03 Tahun 2019 dan Akta Imigresn 1956/63," katanya.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
sumber dari: berita harian