Semakan ditolak, Isa Samad kekal dipenjara 6 tahun, denda RM15.45 juta

Tarikh: 29/06/2026
img

PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi FELDA, Datuk Mohd Isa Abdul Samad, kekal dipenjarakan enam tahun dan didenda RM15.45 juta atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan (panel semakan) dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, sebulat suara menolak permohonan semakan oleh Mohd Isa selepas mendapati tiada salah laksana keadilan dilakukan oleh panel Mahkamah Persekutuan yang terdahulu.

Pada 10 Februari lalu, panel itu sebulat suara mengembalikan sabitan dan hukuman ke atas Mohd Isa, 77, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan beliau oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan permohonan semakan terbabit pada 4 Mac lalu bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Azizah yang membacakan penghakiman panel semakan itu berkata, hak Mohd Isa untuk merayu dan didengar sudah diberi oleh panel terdahulu, namun beliau memilih untuk tidak berbuat demikian.

Beliau berkata, panel terdahulu itu mempunyai kuasa untuk menilai semula keterangan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, sebelum mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan serta mengembalikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.

"Hak untuk merayu dan hak untuk didengar telah diberikan sepenuhnya oleh panel Mahkamah Persekutuan yang terdahulu, namun pemohon memilih untuk tidak menggunakan peluang itu.

"Seperti yang diputuskan oleh mahkamah ini dalam kes Datuk Seri Najib Razak lawan Pendakwa Raya, tidak berlaku salah laksana keadilan sekiranya mahkamah sudah memberi peluang kepada pihak pembelaan untuk mengemukakan hujahan, walaupun ia memilih untuk tidak berbuat demikian.

"Atas alasan itu, kami mendapati tiada berlaku salah laksana keadilan. Oleh yang demikian, permohonan ini dengan ini ditolak," katanya.

Sebaik saja keputusan itu dibacakan, Mohd Isa yang berada di dalam kandang tertuduh dilihat berpelukan dengan ahli keluarga sebelum diiringi pegawai penjara untuk kembali ke Penjara Sungai Buloh.

Turut bersidang dalam panel sama ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk P Ravinthran.

Azizah turut memaklumkan bahawa tiada apa-apa dalam rekod yang menunjukkan pihak-pihak mengehadkan hujahan mereka kepada isu tertentu di Mahkamah Persekutuan.

Katanya, oleh kerana keseluruhan kes berhubung sabitan dan hukuman itu di Mahkamah Persekutuan, terpulang kepada pihak-pihak untuk menentukan cara mereka membentangkan kes masing-masing mengenai isu berkenaan.

Beliau berkata, ketika prosiding di Mahkamah Persekutuan, peguam Mohd Isa telah menumpukan hujahan mereka kepada mempertahankan keputusan Mahkamah Rayuan (membebaskan Mohd Isa), dan bukannya menghujahkan merit pembelaan.

"Selepas memilih untuk mengambil pendekatan itu, pemohon kini tidak boleh mendakwa bahawa beliau telah dinafikan hak untuk didengar.

"Berdasarkan nota prosiding, Mahkamah Persekutuan pada bila-bila masa tidak pernah menghalang atau mengehad pemohon daripada mengemukakan apa-apa hujahan sebelum keputusan.

"Oleh itu, tidak boleh dikatakan bahawa pemohon tidak diberi peluang untuk berhujah mengenai merit pembelaannya," katanya.

Berhubung isu kegagalan membenarkan pemohon mengemukakan rayuan untuk diringankan hukuman, Azizah berkata, tiada sebarang kegagalan oleh panel terdahulu kerana Mahkamah Persekutuan hanya menjalankan bidang kuasa rayuan, manakala dapatan bersalah sudahpun dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

Katanya, rayuan itu telah dipertimbangkan pada peringkat Mahkamah Tinggi serta tidak memerlukan hujahan berasingan kerana pihak pendakwaan tidak memohon hukuman lebih berat di Mahkamah Persekutuan.

Sebaliknya, beliau berkata, pendakwaan hanya memohon supaya sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dikembalikan.

Pada 2018, Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.

Ia sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian MPHS di Kuching pada harga RM160 juta oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.





MACC FM
My Anti-Corruption Channel