Seorang lagi 'Datuk' ditahan kes rasuah projek RM250 juta di Sarawak

Tarikh: 11/12/2024
img

KUCHING: Seorang lagi lelaki bergelar 'Datuk' ditahan reman bagi membantu siasatan kes rasuah projek pembinaan bernilai kira-kira RM250 juta di negeri ini.


Majistret Mason Jaro Lenya Barayan membenarkan suspek berusia lingkungan 50-an itu direman selama lima hari sehingga 15 Disember ini selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.


Menurut sumber, suspek adalah rakan kongsi kepada pengarah syarikat itu juga bergelar 'Datuk' yang ditahan SPRM pada Khamis lalu.


Mereka disyaki berpakat dan berkomplot bagi membolehkan beberapa syarikat mendapat projek pembinaan dikeluarkan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di sebuah daerah di negeri ini.


"Mereka dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2024 sebagai balasan mendapatkan projek-projek pembinaan yang bernilai kira-kira RM250 juta.


"Susulan itu, suspek ditahan sekitar kira-kira jam 6.30 petang semalam di sebuah daerah negeri Sarawak" katanya.


Seramai tiga suspek termasuk seorang jurutera awam yang disyaki terbabit dalam kes ini, ditahan SPRM setakat ini.


Semalam, mahkamah membenarkan reman terhadap jurutera awam berusia 45 tahun dilanjutkan tiga hari lagi.


Bagaimanapun, permohonan lanjutan reman seorang lagi suspek yang bergelar Datuk ditolak oleh mahkamah. Dia dilepaskan dengan jaminan RM50,000.


Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan seorang lagi suspek berkait kes itu.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009 serta tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel