Seorang lagi doktor disyaki tipu tuntutan PERKESO - SPRM

Tarikh: 05/09/2024
img

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengenal pasti seorang lagi doktor disyaki terbabit kes pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya dijangka menahan pegawai perubatan itu dalam tempoh terdekat.

"Seramai empat doktor bertugas di hospital kerajaan dan swasta sudah dikenal pasti dan tiga daripadanya antara 32 individu yang ditahan semalam.

"Doktor keempat ini, kita jangka ditahan oleh pegawai kita dalam tempoh terdekat," katanya pada wawancara bersama media di sini, hari ini.

Pagi tadi, seramai 33 individu termasuk dua doktor hospital kerajaan dan seorang doktor swasta direman bagi membantu siasatan selepas dipercayai terbabit dengan kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya PERKESO berjumlah RM2.1 juta sejak 2017.

Perintah reman terhadap tiga doktor itu dikeluarkan selama dua hari bermula hari ini oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi selepas menerima permohonan daripada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara tempoh reman terhadap 29 orang awam yang terdiri daripada pekerja swasta, ejen dan 'runner' pula dibenarkan selama tiga hari sehingga Jumaat ini manakala reman terhadap isteri kepada seorang ejen dibenarkan selama sehari.

Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, semua suspek berusia 26 hingga 60 tahun dibawa ke Kompleks Mahkamah Georgetown di sini pada jam 9 pagi dengan berpakaian lokap SPRM.

Menurut sumber, tiga doktor berusia 36 hingga 57 tahun itu masing-masing bertugas di Hospital Bukit Mertajam, Hospital Seberang Jaya serta sebuah hospital swasta di Butterworth.

Mengulas lanjut, Azam berkata, siasatan pihaknya setakat ini mendapati terdapat 19 tuntutan sudah dikemukakan sindiket berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah tuntutan terbabit.

"Kes ini bukan sekadar mengenai kita mendapatkan semula wang daripada jumlah tuntutan itu, sebaliknya kita tidak mahu wang kerajaan ini dicuri begitu sahaja.

"Kita bekerjasama dengan PERKESO dalam kes ini. Mereka yang memberikan maklumat kepada SPRM dan membolehkan kita melakukan risikan serta mengesan mereka yang bertanggungjawab," katanya.



Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel