KUALA LUMPUR: Seorang lagi pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes tender perolehan membabitkan bekas Panglima Tentera Darat.
Difahamkan, pegawai kanan ATM itu hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya sekitar jam 10 pagi tadi bagi dirakam keterangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata, pegawai kanan itu ditahan jam 11 pagi ini untuk membantu siasatan kes itu.
"Saya tidak dapat memberikan butiran lanjut sebaliknya akan mendedahkan perkembangan ini dalam sidang akhbar khas esok," katanya kepada BH, di sini hari ini.
Pada 7 Januari lalu, bekas Panglima Tentera Darat bersama bersama dua isterinya ditahan SPRM berkait projek perolehan tender tentera darat dan keesokan harinya, pegawai itu direman selama tujuh hari, manakala kedua-dua isterinya masing -masing direman tiga dan enam hari.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan, bekas Panglima Tentera Darat itu dikehendaki memberi keterangan pada 28 Disember tahun lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.
SPRM juga hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu, bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan tentera darat sejak 2023.
Sumber : Berita Harian Online