PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengenal pasti beberapa individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata pasukan siasatan juga akan ke Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRD Corp pada Selasa ini bagi mendapatkan dokumen berkaitan.
"Kita sudah terima laporan audit yang dikemukakan oleh KSU (Ketua Setiausaha) KESUMA. Berasaskan laporan audit itu, kita mengenal pasti beberapa isu yang memerlukan dokumen dan keterangan daripada pihak terbabit.
"Antaranya isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan, pembelian harta dan sebagainya. Oleh itu, satu pasukan khas dibentuk dan beberapa kertas siasatan sudah dibuka," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 kelmarin, dilaporkan berkata, KESUMA disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.
Wan Suraya berkata, terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat serta KESUMA perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.
Susulan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim semalam mengarahkan KSU KESUMA, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood supaya membuat laporan kepada SPRM.
Ahmad Khusairi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 dan 23 Akta SPRM 2009.