KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam melakukan penggeledahan berkait konglomerat utama negara, IJM Corporation Berhad (IJM), dan membekukan 55 akaun dengan nilai berjumlah kira-kira RM15.8 juta.
BH difahamkan bahawa empat lokasi, termasuk kediaman individu serta pejabat syarikat pembinaan, pembangunan hartanah, infrastruktur dan industri itu, digeledah SPRM dalam satu operasi dipanggil Ops Heart.
Penggeledahan itu untuk membantu siasatan membabitkan dakwaan salah laku tadbir urus korporat dan aset luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Kelmarin, IJM dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, mengesahkan pegawai daripada SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah hadir ke pejabat syarikat itu untuk mendapatkan maklumat sebagai sebahagian daripada proses dijalankan mereka.
Menurut syarikat itu, mereka akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa, serta komited mendukung piawaian tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti yang kukuh.
Sementara itu, satu sumber berkata, tindakan penggeledahan itu juga adalah susulan siasatan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM ke atas dua individu pengurusan tertinggi IJM.
"SPRM kini menjalankan siasatan kes sebuah konglomerat berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
"Pasukan penyiasat sudah membuat pemeriksaan dan penggeledahan di empat lokasi berasingan, iaitu kediaman dan pejabat salah seorang pengurusan tertinggi syarikat berstatus mega itu.
"Dalam operasi itu, SPRM juga membekukan 55 akaun bank persendirian serta akaun syarikat-syarikat berkaitan membabitkan keseluruhan nilai kira-kira RM15.8 juta," katanya.
Sumber : Berita Harian Online