Siasatan Op Sohor masih berjalan, tiada kaitan persaraan pegawai tertinggi ATM

Tarikh: 24/11/2025
img

Kuala Lumpur: Persaraan dua pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tiada kaitan dengan siasatan Op Sohor membabitkan sindiket penyeludupan barang larangan seperti dadah dan rokok yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan masih berjalan selain kes berkenaan juga sudah ada pertuduhan dibuat sebelum ini.

"Siasatan Op Sohor tiada kena kaitan persaraan kedua-dia mereka. Kita (SPRM) juga tiada maklumat berkaitan persaraan mereka," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan persaraan Panglima ATM, Tan Sri Mohd Nizam Jaafar dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Razali Alias, tiada kaitan dengan siasatan Op Sohor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal yang mengaitkan persaraan dua pimpinan atasan ATM itu dengan penahanan 10 individu termasuk pegawai tentera yang disyaki terbabit kes penyeludupan dadah Ogos lalu.

Mohamed Khaled turut mengesahkan bahawa kedua-dua mereka akan bersara pada umur 60 tahun mengikut tarikh persaraan wajib masing-masing seperti biasa tahun hadapan.

Mohd Nizam dijadual mula bercuti 1 Januari 2026 sebelum bersara wajib pada Ogos manakala Mohd Razali pada Disember 2026.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM menahan lima pegawai perisik tentera daripada Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO), sekali gus melumpuhkan sindiket penyeludupan disyaki didalangi pegawai kanan ATM terbabit yang beroperasi di selatan tanah air.

Selain pegawai ATM itu, dua wartawan dan seorang wanita warga asing antara 10 individu direman SPRM hasil pelaksanaan Op Sohor.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel