Siasatan perjanjian mega RM1.1b: Rafizi belum dipanggil beri keterangan

Tarikh: 05/03/2026
img

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli belum menerima sebarang notis untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan berkait perjanjian mega dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

Perkembangan itu disahkan Setiausaha Akhbar beliau, Mohamed Farhan Akmal Mohd Iqbal ketika dihubungi BH sebentar tadi.

"Saya sudah maklumkan, bukan Rafizi dipanggil (untuk beri keterangan kepada SPRM). Beliau tidak terima sebarang notis untuk memberi keterangan dan sebarang berita mendakwa sebaliknya adalah berita palsu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi dikaitkan dengan perjanjian mega kementerian berkenaan, yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion di antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat asing.

SPRM pula dilaporkan sudah merakam keterangan seorang bekas menteri Kerajaan MADANI berhubung siasatan kes terbabit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam mengesahkan 12 individu, termasuk ketua setiausaha kementerian dan Lembaga Pembangunan Pelaburan (MIDA) sudah dipanggil memberi keterangan berhubung isu sama.

SPRM juga dikatakan sudah mendapatkan dokumen penting daripada agensi atau kementerian berkaitan, selain meneliti pembentangan Kertas Kabinet berhubung kes itu.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dipetik berkata, agensi itu akan meneliti keseluruhan laporan bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa mengikut Akta SPRM 2009 dalam kes terbbait.

Katanya, tindakan susulan termasuk meneliti dokumen dan bukti dikemukakan sebelum siasatan lanjut dijalankan, seiring komitmen terhadap integriti serta ketelusan dalam siasatan.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel