KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan siasatan kes dilakukan pihaknya berpaksikan agenda politik, sebaliknya menegaskan semua siasatan dibuat secara tegas mengikut prinsip kedaulatan undang-undang.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata suruhanjaya itu tidak pernah bertindak atas arahan mana-mana tokoh politik dan tidak akan sesekali mengorbankan integritinya.
"Kami bersikap telus sepenuhnya dan tidak berpihak kepada mana-mana individu atau parti ketika menjalankan siasatan mengikut undang-undang.
"Saya menafikan dakwaan siasatan SPRM dibuat berdasarkan arahan politik," katanya kepada New Straits Times hari ini.
Azam berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang dilaporkan mendakwa seorang individu disiasat SPRM hanya kerana individu terbabit bertanding menentang Nurul Izzah Anwar dalam satu pilihan raya.
Dalam podcastnya, Rafizi turut mendakwa beberapa ahli PKR yang tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi parti ditahan SPRM menjelang pemilihan parti tahun lalu.
Beliau mendakwa mereka yang ditahan termasuk calon yang bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR pada Mei 2025.
Azam berkata, SPRM sedia meneliti dakwaan itu sekiranya butiran berhubung kes dinyatakan Rafizi itu dikemukakan kepada pihaknya.
"Jika Rafizi boleh mengemukakan maklumat mengenai individu yang didakwa disiasat SPRM semata-mata kerana bertanding menentang Nurul Izzah, kami bersedia menilai maklumat berkenaan," katanya.
Menegaskan semula kebebasan suruhanjaya itu, Azam berkata, tindakan SPRM sentiasa berpaksikan prinsip keadilan dan kepentingan awam.
"Saya ingin menyatakan kami bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan kami akan memastikan tiada pihak campur tangan dalam mana-mana siasatan," katanya.
Sumber: Berita Harian Online