KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Perdana Menteri Kesembilan memasuki fasa kedua tertumpu kepada pengisytiharan harta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata terdapat beberapa perkara penting akan dilakukan pegawai penyiasat SPRM dalam rakaman percakapan yang akan diambil daripada Ahli Parlimen Bera itu selepas ini.
Beliau berkata, Ismail Sabri juga dijangka dipanggil semula dalam tempoh beberapa minggu lagi.
"Pegawai penyiasat akan memanggilnya semula untuk menjelaskan beberapa perkara termasuklah berkaitan dokumen dan saksi sokongan dalam pengiystiharan harta yang dikemukakan beliau sebelum ini," katanya kepada BH.
Jumaat lalu, BH melaporkan proses mengambil keterangan bekas Perdana Menteri itu dijangka disambung semula.
Ismail Sabri disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Setakat ini, Ahli Parlimen Bera sudah tujuh kali hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan.
Kali terakhir keterangan dibuat adalah pada 24 Mac lalu yang mana proses itu mengambil masa lima jam.
Sehingga kini, lebih 30 jam sesi keterangan direkodkan sejak kali pertama dibuat.
Ismail Sabri sebelum ini dilapor sudah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat selama kira-kira lima jam sehari selepas beliau membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu.
Beberapa hari kemudian, empat individu termasuk dua bekas pegawai kanannya ditahan SPRM untuk siasatan lanjut.
Ia kemudiannya membawa kepada serbuan di tiga premis dengan penemuan wang tunai pelbagai negara berjumlah RM170 juta dan 16 jongkong emas bernilai RM7 juta di sebuah kondominium yang didakwa sebagai 'safehouse'.
Beberapa siri keterangan sebelum ini tidak dapat dilakukan susulan masalah kesihatan bekas Perdana Menteri itu yang mana beliau diberi cuti sakit oleh doktor.
Sumber BH