PUTRAJAYA: Siasatan dan tindakan terhadap aduan membabitkan penjawat awam termasuk dakwaan rasuah perlu dijalankan dengan teliti dan tidak tergopoh-gapah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, siasatan yang dijalankan juga tidak boleh didorongi sentimen politik dan persepsi, sebaliknya harus mengikut peraturan undang-undang.
"Tetapi bagi saya, saya tidak fikir saudara akan bekerja kalau seorang Perdana Menteri itu terus hukum. Belum siasat, mesti hukum dulu. Saya tidak pilih jalur itu. Siasat, kalau perlu tindakan, kita ambil tindakan. Kalau perlu hukuman, kita ikut hukuman. Tapi jangan kita gopoh.
"Kerana kebetulan orang itu kita tidak senangi atau bukan daripada kelompok kita ataupun kita berdendam kerana orang itu telah mengambil tindakan kepada kelompok-kelompok yang dikaitkan dengan kita. Kita harus beringat begitu," katanya pada perjumpaan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ihya' Ramadan, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Perdana Menteri berkata, siasatan terhadap penjawat awam yang didakwa melakukan kesalahan perlu dijalankan biarpun ia membabit mereka yang sudah bertahun-tahun berkhidmat dalam kerajaan.
"Orang yang berkorban puluhan tahun, dalam semua agensi, kalau kelemahan itu melanggar prinsipnya ataupun kesalahannya besar, itu (siasatan) ikut proses undang-undang.
"Kalau ada aduan-aduan yang berat, bawa kepada prosesnya (siasatan). Sama seperti mana yang dibicarakan sekarang dalam kes SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya.
Bloomberg dalam laporan sebelum ini mendakwa, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Sumber : Berita Harian Online