Sindiket 'counter setting': 29 pegawai AKPS ditahan sehingga September lalu

Tarikh: 21/11/2025
img

KUALA LUMPUR: Seramai 29 pegawai dan kakitangan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ditangkap kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, termasuk aktiviti "counter setting" dari Januari hingga September tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata gejala membabitkan pegawai di pintu masuk negara itu adalah perkara serius yang mendapat perhatian penuh kerajaan.

"Selain tindakan undang-undang melalui pendakwaan di mahkamah terhadap pegawai yang terbabit, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat ke arah pendekatan teknologi yang menekankan kaedah automasi dan saringan pintar bagi mengurangkan intervensi manusia dalam proses kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk negara.

"Pembangunan teknologi kawalan dan pemeriksaan ini dilaksanakan selari dengan tindakan punitif dan mencegah, seperti tindakan tatatertib, kawalan dalaman, seperti semakan perisytiharan harta yang lebih teliti dan pemantauan gaya hidup pegawai serta pelaksanaan program pengukuhan integriti.

"Melalui kombinasi pendekatan ini, kerajaan yakin gejala rasuah di pintu masuk negara dapat ditangani secara lebih berkesan, sekali gus memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara terus terpelihara," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai jumlah tangkapan pegawai dan kakitangan AKPS yang terbabit dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa, seperti "counter setting" dari Januari hingga September 2025, selain langkah konkrit dan pendekatan kerajaan bagi menangani isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, antara pembangunan teknologi yang sudah dan sedang dilaksanakan KDN, termasuk pelaksanaan Sistem Pemeriksaan Penumpang Awal (APSS), yang berfungsi menyaring maklumat pelawat dari syarikat penerbangan seawal 72 jam sebelum waktu pelepasan penerbangan.

Selain itu, bagi memastikan ketepatan dan keberkesanan saringan, KDN akan turut membangunkan "Risk Assessment Engine" (RAE) sebagai salah satu solusi dalam Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin.

KDN turut akan memperkenalkan Foreign Digital Identity (FDID) bagi mewujudkan identiti digital tunggal untuk setiap pelawat asing, yang akan disepadukan dengan sistem biometrik terpusat yang merangkumi tiga ciri utama, iaitu cap jari, imbasan iris dan pengecaman wajah.

"KDN akan memperluas penggunaan mesin autogate sebagai benteng utama menentang amalan counter setting. Bagi pelepasan masuk, mesin autogate kini dibuka kepada pelawat dari 63 negara serta pemegang pas jangka panjang.

"KDN turut memperkukuh pengawasan bagi kaunter manual. Semua pegawai AKPS diwajibkan memakai kamera badan ketika bertugas, sementara kaunter pula dipantau dengan kamera litar tertutup (CCTV) pintar dilengkapi analisis video berasaskan AI, yang berupaya mengesan sebarang tingkah laku mencurigakan lebih awal, sekali gus menutup ruang kepada amalan tidak berintegriti dan meningkatkan akauntabiliti pegawai," katanya.


Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel