Sindiket kaut untung haram daripada hak rakyat: SPRM garis 4 keutamaan, ikrar tak kompromi

Tarikh: 28/09/2026
img

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak dalam rantaian sindiket yang mengaut keuntungan haram daripada hak rakyat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata pihaknya menggariskan empat keutamaan utama merangkumi usaha membasmi penyelewengan subsidi diesel dan menangani isu ekosistem nelayan, penguatkuasaan berkaitan kelestarian alam sekitar, pengawasan tatakelola di peringkat pentadbiran tempatan serta pemerkasaan strategi pencegahan secara kreatif.

Beliau berkata, mengambil kira kedudukan Kelantan yang mempunyai kawasan sempadan dan pesisir pantai, isu penyelewengan subsidi komoditi khususnya bahan api diesel, perlu dibanteras habis-habisan di perairan negeri dan pintu sempadan.

"Langkah penguatkuasaan juga perlu dipertingkatkan terhadap sebarang aktiviti penerokaan tanah, pembalakan dan perlombongan haram yang boleh merosakkan khazanah alam.

"Pada masa sama, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di peringkat daerah dan agensi negeri perlu dipantau secara ketat bagi menutup ruang penyalahgunaan kuasa, termasuk penyelewengan lesen perniagaan kepada warga asing.

"Bagi aspek pencegahan, Cawangan Pendidikan Masyarakat (PenMas) disaran memperbanyak sesi dialog dan forum bersama masyarakat, selain memperkasa pendekatan mesra komuniti serta kreatif bagi menarik minat golongan muda," katanya ketika Lawatan Kerja ke SPRM Kelantan di Kompleks SPRM Kelantan, di sini, hari ini.

Abd Halim turut menyarankan warga SPRM Kelantan menerapkan pendekatan diplomasi dan berhemah dalam tugas penguatkuasaan terhadap jenayah kolar putih, selaras peribahasa "seperti ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya".

Beliau berkata, pendekatan diplomasi disertai kebijaksanaan penting bagi memastikan setiap siasatan dan operasi yang dijalankan kekal berimpak tinggi, tanpa mengabaikan aspek profesionalisme serta integriti.

"Keberkesanan penguatkuasaan bukan semata-mata diukur melalui tindakan drastik, sebaliknya turut bergantung keupayaan risikan tajam dan analitikal, selain pendekatan berorientasikan hasil yang menjadi teras kejayaan membanteras rasuah.

"Justeru, pegawai SPRM Kelantan perlu sentiasa mengekalkan prinsip integriti tanpa kompromi serta tindakan tanpa berpihak," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel