Sindiket pengeluaran pas lawatan IMM13, dua pegawai agensi penguat kuasa direman 6 hari

Tarikh: 01/08/2024
img

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua pegawai agensi penguat kuasa kerana disyaki terbabit dalam pengeluaran pas lawatan IMM13 di daerah ini. Perintah reman selama enam hari sehingga 6 Ogos dikeluarkan oleh Majistret Nur Faezah Jafry terhadap suspek pertama yang berusia 50-an selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan, hari ini.


Sementara, Majistret Don Stiwin Malanjum mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 7 Ogos kepada suspek kedua yang berusia 30-an selepas permohonan di buat SPRM di Mahkamah Sesyen Tawau. Menurut sumber, terdahulu kedua-dua suspek lelaki ditahan sekitar jam 5.30 petang hingga 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan dan Tawau.


"Tangkapan terbaharu ini adalah susulan daripada tangkapan dua beranak berkaitan kes yang sama pada Jumaat lalu. "Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang direman hari ini dipercayai melakukan perbuatan berkenaan sejak tahun 2022 membabitkan nilai rasuah kira-kira RM20,000. "Kedua-dua suspek juga dipercayai melakukan perbuatan berkenaan bersama orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM13 kepada pelarian Filipina yang datang berlindung di Sabah akibat pergolakan sekitar awal 1970-an," katanya.


Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan kejayaan ini adalah hasil risikan SPRM Sabah. Terdahulu, pada Jumaat lalu, SPRM menahan reman dua beranak iaitu ibu dan anak perempuan kerana disyaki terbabit dalam pengeluaran pas lawatan IMM13 membabitkan wang rasuah berjumlah kira-kira RM20,000.


Sumber: Harian Metro 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel