Sistem cegah kebocoran maklumat perolehan kerajaan dibangun SPRM

Tarikh: 07/01/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang membangunkan satu sistem yang boleh mencegah kebocoran maklumat yang membabitkan perolehan kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sistem berkenaan akan beroperasi dalam tempoh terdekat dengan memberi akses percuma kepada mana-mana agensi kerajaan yang mahu mengguna pakai ia kelak.

Katanya, kecanggihan sistem itu juga sudah menerima pengiktirafan antarabangsa apabila ia memperoleh tempat keempat dalam satu pertandingan yang diadakan di Hong Kong tahun lalu.

"Kebanyakan kes SPRM membabitkan perolehan kerajaan adalah disebabkan ada unsur-unsur yang melanggar garis panduan yang diberikan dan diharapkan sistem ini dapat membantu menangani masalah yang dihadapi.

"Sistem ini akan diberikan secara percuma kepada mana-mana agensi kerajaan yang ingin mengguna pakai sistem ini apabila berjaya dibangunkan sepenuhnya kelak," katanya dalam satu kenyataan selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara SPRM dan Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.

Mengenai nota kerjasama yang diterajui oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM itu, Azam berkata, ia adalah manifestasi iltizam berterusan antara SPRM dan KKR dalam memperkukuh integriti, meningkatkan tatakelola serta membanteras rasuah dan salah guna kuasa secara lebih strategik, bersepadu dan konsisten.

"SPRM akan terus komited menjadi rakan strategik kepada kementerian dan agensi kerajaan dalam memastikan setiap projek pembangunan negara dilaksanakan dengan penuh amanah, ketelusan dan berakauntabiliti.

"Malah, kerjasama antara SPRM dan KKR juga sudah bermula sejak 2013 melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan kemudian diperkukuh dengan Nota Kerjasama pada 2022," katanya.

Beliau berkata, pembaharuan pada tahun ini adalah dengan memberi tumpuan kepada dua aspek utama iaitu pengukuhan pengoperasian, pencegahan rasuah dan pendidikan antirasuah.

"Selain itu, perkongsian kepakaran dalam pengesanan jenayah rasuah, penyaluran maklumat, pembangunan kompetensi dan latihan bersama.

"Ia termasuklah penempatan pegawai kanan KKR bagi meningkatkan keupayaan operasi serta memperkukuh kepakaran rentas agensi," katanya.

Dalam perkembangan sama, Azman berkata, kerjasama dengan SPRM dapat membantu KKR membendung isu-isu berkaitan rasuah dan tatakelola bagi mengelakkan kerugian kepada kerajaan seperti kes-kes yang pernah berlaku sebelum ini.

"Nota kerjasama ini diharap dapat memperkukuhkan jaringan kerjasama dua hala antara kedua-dua agensi ini sekali gus memperkukuh agenda 'Keep Malaysia Clean' bagi membina negara yang bebas rasuah dan bertunjangkan integriti," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel