Kota Kinabalu: Seorang ahli perniagaan yang didakwa memberi rasuah berjumlah RM350,000 kepada dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral di negeri ini akan dibicarakan pada 20 hingga 24 April tahun depan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, menetapkan tarikh berkenaan ketika kes Datuk Tei Jiann Cheing, 37, atau dikenali sebagai Albert Tei, disebut untuk pengurusan praperbicaraan, hari ini.
Seramai 15 saksi dijangka dipanggil sepanjang perbicaraan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkarnain Rousan Hasbi, memaklumkan mahkamah bahawa beliau mengambil alih kes itu daripada Timbalan Pendakwa Raya.
Beliau berkata, pihak pembelaan belum menerima dua cakera padat (CD) daripada pihak pendakwaan dan CD berkenaan diserahkan pada prosiding hari ini.
Dzulkarnain kemudian memohon tarikh perbicaraan ditetapkan sekiranya tiada bantahan dikemukakan.
Pasukan pembelaan yang mewakili Tei mengesahkan tiada perkara tambahan untuk dibangkitkan.
Tei hadir di mahkamah dan diwakili peguam Edward Paul, Batholomew Jingulam dan Jul Hamri.
Pada 30 Jun lalu, Tei mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi rasuah kepada bekas ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, serta bekas ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.
Tei didakwa memberi suapan RM200,000 kepada Dr Yusof sebagai dorongan untuk membantu memproses permohonan lesen perlombongan bagi Nusa Kini Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 2 petang, 6 Mac 2023 di Rooftop Bar & Grill @ Hilton, di sini.
Beliau juga dituduh memberi suapan RM150,000 kepada Andi sebagai dorongan untuk membantu memproses permohonan Lesen Penerokaan Mineral oleh Sinaran Hayat Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada jam 11 malam, 12 Mei 2023 di kediaman Andi di Jalan Pantai, Sembulan.
Tei dituduh mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM.
Difahamkan, Nusa Kini Sdn Bhd dan Sinaran Hayat Sdn Bhd yang beroperasi di Sabah dimiliki oleh rakan perniagaan Tei.
Sumber : Berita Harian Metro