Skandal rasuah ADUN Sabah: Masidi beri keterangan kepada SPRM

Tarikh: 04/12/2024
img

Kota Kinabalu: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun tampil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung video dakwaan skandal rasuah yang dikaitkan dengan beliau.


Masidi berkata, beliau datang sendiri ke pejabat SPRM Kota Kinabalu jam 8 malam tadi untuk memberi keterangan kepada agensi penguat kuasa berkenaan.


"Saya ingin memaklumkan saya secara sukarela dan tanpa dipanggil oleh pihak SPRM sudah memberi keterangan berkenaan video yang tular di pejabat SPRM Kota Kinabalu pada 8 malam.


"Seperti yang saya sudah dimaklumkan sebelum ini, saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk menyiasat isu ini.


"Kunjungan saya ke Pejabat SPRM malam ini adalah untuk membantu siasatan dan tanda sokongan saya kepada usaha SPRM membanteras rasuah di negeri ini," katanya dalam kenyataan, malam ini.


Dalam kenyataannya petang tadi, Masidi mendakwa video memaparkan perbualannya dengan seorang individu berhubung dana RM300,000 yang dikaitkan dengannya sudah disunting.


Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel