KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) akan menganjurkan Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 pada Isnin depan.
Simposium bertemakan 'Tatakelola Baik Aspirasi Negara MADANI' menjadi platform peluncuran 'Arahan YAB Perdana Menteri No 1 Tahun 2023: Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional' yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Datuk Abd Aziz Aban, berkata arahan terbabit menggariskan mekanisme dan struktur bagi mencapai objektif ke arah mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
"Kerajaan komited dalam memastikan pemimpin dan ketua perkhidmatan menerajui serta menyokong setiap usaha organisasi untuk meningkatkan amalan tatakelola baik melalui pelaksanaan mekanisme yang ditetapkan dalam arahan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, intipati arahan adalah untuk mengukuhkan usaha kerajaan dalam mewujudkan ekosistem tatakelola baik sistem pengurusan pentadbiran Kerajaan Malaysia melalui penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) yang menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR).
"Ia bertujuan bagi memastikan tindakan segera, berfokus dan lebih berkesan dapat diambil dalam menangani isu-isu kelemahan tatakelola yang boleh menyebabkan ketirisan dana kerajaan, pembaziran serta risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
"Prinsip tatakelola baik seperti ketelusan, kebertanggungjawaban, kecekapan dan keberkesanan diberi penekanan bagi meningkatkan kualiti sektor awam serta memastikan perkhidmatan awam disampaikan dengan lebih berintegriti," katanya.
Dalam pada itu, Abd Aziz berkata, simposium itu akan diisi dengan sesi forum bertajuk 'Memartabatkan Integriti Sektor Awam melalui Pemantapan Tatakelola Baik Nasional ke arah Kemajuan Malaysia Madani' yang menampilkan barisan tokoh seperti Mantan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdul Halim Ali; Mantan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation, Datuk Dr Hafsah Hashim dan Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.
Sember: Berita Harian