KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menerbitkan sebuah buku mengenai kejayaan luar biasa siasatan sedekad 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dengan pendedahan sebenar yang tidak mengelirukan dan berdasar fakta penyiasatan serta penghakiman mahkamah semata-mata.
Ia dijangka memperincikan individu-individu sebenar yang terbabit dalam skandal terbesar kewangan dunia itu, termasuklah 'Putera Arab' yang dikaitkan menderma dana kepada 1MDB.
Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki, berkata buku itu akan menjadi dokumen masyarakat yang bertujuan untuk memberi kefahaman kepada semua pihak terhadap kes berkenaan dan memperbetulkan setiap persepsi yang timbul sepanjang kes itu dibicarakan.
SPRM ketika ini menunggu penghakiman penuh kes berkenaan sebelum penerbitan buku itu dilaksanakan.
"Saya berhasrat untuk buku kes ini (1MDB) dan sedang menunggu penghakiman penuh daripada Hakim sebelum ia boleh dibukukan. Saya kira langkah membukukan kes ini akan menjadi satu dokumen masyarakat dan dokumen awam supaya masyarakat boleh membacanya.
"SPRM mahu ia menjadi bahan bacaan awam supaya masyarakat faham, kerana masyarakat hari ini membuat kesimpulan melalui maklumat yang pendek, daripada media sosial. Mereka membuat satu kesimpulan tanpa fakta sebenar.
"Sebagai contoh membabitkan Putera Arab Saudi. Sebenarnya, kalau ikut keterangan, kami sendiri tak tahu siapa putera yang dikatakan itu. Adakah beliau adalah putera yang betul? Ini semua tercatat dalam dokumen mahkamah," katanya.
Antara skandal kewangan terbesar dunia
Siasatan terhadap 1MDB bermula secara rasmi pada tahun 2015 dan menjadi antara skandal kewangan terbesar dunia, membabitkan dakwaan penyelewengan dana berbilion ringgit melalui rangkaian transaksi kompleks merentas negara.
Di Malaysia, siasatan jenayah dijalankan oleh SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara, meliputi kesalahan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa serta pengubahan wang haram.
Siasatan awal menumpukan pada transaksi luar negara, pembelian aset mewah, dan aliran dana masuk ke akaun peribadi bekas Perdana Menteri.
Siasatan turut membabitkan kerjasama antarabangsa dengan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Switzerland dan Singapura.
Kemuncaknya adalah penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020, yang mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, atas tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd (anak syarikat berkaitan 1MDB), termasuk salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan denda. Keputusan itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan seterusnya Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022, menjadikan sabitan dan hukuman berkenaan muktamad.
Pada masa sama, beberapa kes lain berkaitan 1MDB masih dalam perbicaraan atau peringkat siasatan, termasuk usaha pemulihan aset di dalam dan luar negara.
Secara keseluruhan, kes 1MDB menjadi titik penting dalam landskap perundangan Malaysia kerana menunjukkan tindakan tegas terhadap rasuah berprofil tinggi serta memperkukuh kerjasama perundangan antarabangsa dalam membanteras jenayah kewangan.
Sumber : Berita Harian Online