SPRM angkat mesej antirasuah ke puncak Merdeka 118

Tarikh: 14/10/2026
img

KUALA LUMPUR: Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang jauh lebih baik sekiranya amalan rasuah dapat dihapuskan sepenuhnya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman, berkata negara ini mempunyai potensi untuk mencapai tahap lebih baik sekiranya bebas daripada gejala rasuah.

"Bayangkan jika negara kita bebas daripada rasuah, sudah tentu Malaysia akan menjadi sebuah negara yang jauh lebih baik.

"Perubahan budaya bebas rasuah bermula daripada keputusan jujur dan pendirian tegas diri kita sendiri.

"Ayuh kita melangkah bersama, bukan sahaja untuk mencapai puncak fizikal Menara Merdeka 118, malah untuk mengangkat martabat integriti diri, organisasi dan negara ke tahap yang tertinggi," katanya ketika berucap pada Program Langkah Merdeka 118, Bersama Perangi Rasuah di Stadium Merdeka, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Dr Izwan Hasli Mohd Ibrahim dan Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib,

Azmi berkata, kejayaan mengibarkan bendera SPRM di puncak Menara Merdeka 118 menjadi simbol keberanian dan tekad agensi itu untuk meletakkan agenda antirasuah pada kedudukan tertinggi.

Menurutnya, cabaran mendaki menara berkenaan turut membawa mesej bahawa usaha memerangi rasuah menuntut kekuatan mental, disiplin dan keteguhan prinsip yang berterusan.

Beliau turut mengingatkan bahawa komitmen memerangi rasuah tidak seharusnya terhenti pada lafaz ikrar semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan harian.

"Ingatlah ikrar ini bukan sekadar lafaz di atas kertas, tetapi satu tanggungjawab yang mesti diterjemahkan melalui tindakan harian, iaitu menolak suapan, mematuhi peraturan, dan melindungi mereka yang berani melaporkan salah laku demi memelihara aset terpenting organisasi, iaitu kepercayaan," katanya.

Program anjuran SPRM Kuala Lumpur dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad Merdeka Ventures (PNBMV) itu diadakan bersempena sambutan Ulang Tahun SPRM ke-59.

Antara pengisian utama ialah Larian Menara (Tower Run) yang menyaksikan 50 peserta mendaki 2,845 anak tangga Menara Merdeka 118.

Program itu turut dimeriahkan dengan pameran integriti membabitkan hampir 20 agensi kerajaan dan swasta, selain majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh PNB Merdeka Ventures.

Sementara itu, Mohamad Zakkuan Talib, berkata kerjasama dengan PNB Merdeka Ventures menjadi penanda aras baharu dalam menyampaikan mesej antirasuah melalui pendekatan lebih dekat dengan masyarakat.

Bagi acara Larian Menara hari ini, Lans Koperal Muhamad Khairul Izwan Mazli dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras muncul juara dengan catatan masa 32 minit 29 saat.

Tempat kedua dimenangi Wan Norrazif Mohamed dari SPRM Kuala Lumpur diikuti Mohd Haniff Afiq Rosnei dari SPRM Negeri Sembilan, di tempat ketiga.

Selain acara Larian Menara, program itu turut mengadakan pertandingan mencipta lagu antirasuah yang menyaksikan Ts Faizal Malek dari Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar muncul juara menerusi lagu Amanah Merdeka.

Lagu berkenaan yang mengatasi lapan penyertaan lain turut dipilih sebagai lagu tema rasmi program integriti PNB Merdeka Ventures.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel