SPRM arah pegawai penyiasat bantu mantapkan tatakelola DBKL

Tarikh: 04/02/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan pegawai penyiasat tatakelola di bawah agensi antirasuah itu untuk membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memantapkan tatakelola yang dilihat lemah dan perlu dibaiki segera.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, berkata pihaknya akan terus bekerjasama secara strategik dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi memastikan pengurusan tatakelola terus diperkukuh sekali gus mengelakkan berulangnya kelemahan yang pernah terjadi sebelum ini.

Situasi itu penting selepas SPRM melihat komitmen bersungguh-sungguh yang ditunjukkan DBKL dalam menyelesaikan isu yang dilihat mampu membuka ruang dan peluang kepada salah laku rasuah.

"Bahagian Penyiasatan Tatakelola sudah diarahkan untuk membantu pihak DBKL bagi memastikan setiap cadangan khidmat nasihat yang dikemukakan dapat dikaji dan dilaksanakan segera.

"Langkah ini diyakini dapat meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap komitmen serta imej DBKL. SPRM juga melihat DBKL sentiasa berusaha dan komited untuk melakukan perubahan setiap kali timbul isu, khususnya berkaitan kesalahan jenayah seperti rasuah dalam kalangan warga kerja mereka," katanya, di sini hari ini.

Semalam, BH secara eksklusif melaporkan, pengurusan dan pemantauan pelbagai kontrak oleh DBKL, termasuk penganugerahan lesen perniagaan dilihat lemah dan 'mundur', tidak setanding dengan pelbagai pembangunan dan pengiktirafan yang diterima bandar raya ini.

Kelemahan yang ketara dan 'tersembunyi' itu dikhuatiri membuka ruang dan risiko penyelewengan serta salah laku rasuah, sama ada dalam kalangan penguat kuasa atau pihak-pihak berkepentingan.

BH difahamkan, antara kelemahan dikesan adalah tiada jawatankuasa pemantau diwujudkan DBKL untuk melaksanakan pemantauan sejurus kontrak bernilai tinggi dan bagi tempoh lama diberikan kepada pihak tertentu terutama syarikat swasta.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, SPRM melihat ada sinar untuk memperbaiki kelemahan melalui kepimpinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, yang terus menandatangani Nota Kerjasama bersama SPRM, semalam.

"Langkah ini membuktikan kesungguhan menteri, Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk mengkaji dan melaksanakan penambahbaikan demi kemajuan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Masyarakat juga perlu terus memberi sokongan kepada isu ini supaya penambahbaikan dapat berjalan dengan lancar. Segala kelemahan bukan alasan untuk mengabaikan peranan masing-masing," katanya.


Sumber - berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel