'SPRM bagi sebulan lagi kepada Mirzan, Mokhzani isytihar aset' - Azam Baki

Tarikh: 15/08/2024
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan tambahan sebulan lagi kepada dua anak bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Mirzan dan adiknya, Tan Sri Mokhzani, mengisytiharkan aset masing-masing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata kedua-duanya mempunyai tempoh sehingga pertengahan September bagi berbuat demikian.

"Kita sudah beri tempoh masa kepada kedua-dua mereka yang akan berakhir pada pertengahan September.

"Itu keputusan akhir, selepas mereka isytihar harta nanti, kami akan beri perkembangan kepada pihak media,"sidang media selepas merasmikan program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Akauntan Negara Malaysia, Nor Yati Ahmad; Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin; Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), Patimah Ramuji; Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak; Presiden MAICSA, Datuk Akbar Moidunny; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Rezy Izwan Ramly dan Pengarah Jabatan Khas Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Akmal Johari Ismail.

Azam berkata, jadi, tunggu dahulu sehingga September ini kerana SPRM sudah memberi tambahan sebulan lagi.

"Jika mereka gagal patuh, SPRM akan ambil tindakan undang-undang," katanya.

Pada Mei, SPRM bersetuju memberi lanjutan masa kepada Mirzan Mahathir dan adiknya, Tan Sri Mokhzani, untuk mengisytiharkan aset masing-masing.

Mirzan dan Mokhzani diarahkan SPRM pada Januari lalu mengisytiharkan aset mereka sejak 1981, tahun di mana Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM sudah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora serta Kertas Panama.

SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan itu dan siasatan masih dijalankan.


Sumber: Berita HarianĀ 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel