SPRM beku 20 akaun bank suami isteri pempengaruh, 2 individu

Tarikh: 16/07/2024
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan kira-kira 20 akaun bank membabitkan nilai lebih RM740,000 susulan siasatan penyelewengan dana derma awam membabitkan pasangan pempengaruh bersama dua lagi individu. 


Menurut sumber, beberapa akaun yang dibekukan itu dimiliki individu serta syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dana diterima daripada orang ramai menggunakan satu platform kutipan derma dalam talian.


"Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) telah menyita dan membekukan hampir 20 akaun milik individu serta syarikat bagi membantu siasatan dijalankan.


"Kemungkinan akan ada beberapa lagi akaun perbankan yang akan turut disita serta dibekukan oleh SPRM," katanya.


Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan pembekuan beberapa akaun milik individu serta syarikat susulan siasatan SPRM terhadap pasangan pempengaruh terbabit.


Beliau berkata sitaan dan pembekuan akaun-akaun terbabit dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel