SPRM belum panggil saksi siasatan derma Aman Palestin

Tarikh: 10/11/2023
img

PUTRAJAYA: Pegawai forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti penyata kewangan membabitkan badan bukan kerajaan (NGO), Aman Palestin yang mengutip derma untuk rakyat Palestin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini pihaknya belum memanggil mana-mana saksi berhubung siasatan tersebut.

“Siasatan masih berjalan dan kita masih belum memanggil mana-mana saksi kerana buat masa ini, pegawai forensik SPRM sedang meneliti banyak dokumen terutama penyata (kewangan) dari 2020 hingga 2022.

“Bagi kutipan (derma) terbaharu (2023), kami tidak boleh menyiasat sepenuhnya kerana kutipan derma masih berjalan dan berkenaan penyata kewangan ini, ia perlu selesai untuk tempoh setahun. Sebab itu kami tidak boleh melakukan siasatan forensik untuk kutipan terbaharu,” katanya yang ditemui selepas menghadiri Hari Integriti Kementerian Komunikasi dan Digital, di sini hari ini.

Azam sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya sedang mendapatkan beberapa dokumen daripada Aman Palestin bagi membantu siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa membabitkan pengumpulan derma itu.

12 Oktober lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) mengesahkan menarik balik kebenaran kutipan Tabung Aman Palestin di Perlis susulan terdapat aduan daripada beberapa pihak meminta NGO terbabit disiasat berkaitan wang kutipan dipungut dan dikumpulkan selama ini.

Sementara itu, ditanya jika terdapat NGO lain dalam radar SPRM, jelas Azam, setakat ini, hanya Aman Palestin sahaja yang disiasat.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata, siasatan kes penyelewengan dana Unit Tranformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) sudah selesai dan ditutup.

Ujar beliau, selain pertuduhan di mahkamah, pihaknya juga telah mengemukakan saranan dan cadangan berkenaan prosedur yang perlu dipatuhi MITRA.

Sumber: Buletin TV3

MACC FM
My Anti-Corruption Channel