SPRM bentang 14 syor tatakelola pulih isu penyelewengan zakat IPIP Sarawak

Tarikh: 10/12/2025
img

Kuching: Sebanyak 14 syor penambahbaikan tatakelola dibentangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak kepada pengurusan Institusi Pengajian Islam Persendirian (IPIP) di bawah Majlis Islam Sarawak (MIS) berhubung pengagihan sumbangan zakat kepada pelajar IPIP di negeri itu.

Antara syor berkenaan ialah memasukkan kriteria pelantikan individu sebagai Nazir di dalam Ordinan MIS 2001: Kaedah Kaedah Majlis Islam Sarawak (Pentadbiran Institusi Institusi Pendidikan Islam) 2024 dan mensyaratkan proses naziran perlu membabitkan sekurang-kurangnya tiga ahli Nazir.

Selain itu, mewujudkan garis panduan kewangan bagi pengurusan IPIP negeri Sarawak, mewajibkan pemantauan tahunan atau audit ke atas akaun IPIP.

Serta mengadakan kursus integriti dan rasuah secara berkala kepada semua kakitangan dan pelajar IPIP di Sarawak.

Cadangan itu dilaksanakan susulan siasatan tatakelola dijalankan terhadap agensi di bawah MIS pada 2020 berhubung penyelewengan duit sumbangan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) kepada IPIP yang berdaftar dengan MIS dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

Ia membabitkan Madrasah Raudatul Ulum Islamiah, Kota Samarahan yang mana wang zakat berjumlah RM138,100 disalahgunakan oleh Pengerusi dan Bendahari Madrasah terbabit untuk kepentingan sendiri.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Hasbilah Mohamad Salleh berkata, empat isu kelemahan dikenal pasti dalam pengurusan dan pemantauan yang membabitkan pengagihan sumbangan zakat oleh TBS kepada pelajar IPIP berdaftar dengan pihak JAIS.

Beliau yang membentangkan syor itu berkata, kelemahan itu boleh membuka ruang dan peluang berlakunya amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Dalam pada itu, Setiausaha MIS, Mu'al Sauad yang menyambut baik cadangan penambahbaikan itu berkata, pihaknya bersetuju mengambil tindakan penambahbaikan bagi mengatasi kelemahan yang ditemui.

"Kami berterima kasih kepada SPRM Sarawak kerana membantu MIS dalam usaha menutup ruang dan peluang berlaku rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan," katanya pada sesi pembentangan yang diadakan di Dewan Syura, Majma' Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini, semalam.

Pada majlis itu, turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang ditandatangani di antara Hasbilah dan Setiausaha MIS.

Sumber : Berita Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel