Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.
Beberapa siri bongkaran dilakukan SPRM dalam tempoh dua hari ini di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.
Menurut sumber, projek di bawah kementerian ini berjumlah RM1.8 bilion dianugerahkan kepada pertubuhan terbabit bagi tempoh 30 bulan bermula 2021 hingga 2023.
"Pertubuhan terbabit dipertanggungjawab untuk menghasilkan baja padi dan mengedarkannya kepada pesawah di seluruh negara melalui pejabat pertubuhan di peringkat negeri masing-masing.
"Hasil siasatan mendapati pertubuhan ini sudah menggunakan dua kaedah untuk memenuhi kontrak kerajaan iaitu membeli terus baja padi daripada lima syarikat pengeluar dan membeli bahan mentah bagi memproses baja daripada empat syarikat," katanya.
Menurutnya, siasatan SPRM akan menjurus kepada kesalahan rasuah dalam perolehan baja atau bahan mentah daripada syarikat-syarikat terpilih.
"Selain itu, siasatan juga menjurus kepada kesalahan salahguna kuasa yang mungkin berlaku di mana ahli Lembaga Pengarah yang terbabit dalam membuat keputusan dalam pemilihan syarikat berkepentingan.
"SPRM juga merampas dokumen berkaitan projek ini di peringkat kementerian, pertubuhan dan syarikat berkaitan dan dalam peringkat kajian mendalam.
"Enam pegawai kementerian dan pertubuhan terbabit sudah dipanggil SPRM untuk ditemubual," katanya.
Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan ini dan tidak menolak akan menahan beberapa individu disyaki terbabit bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 16, Seksyen 18 dan seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya.
Sumber: Harian Metro