SPRM buka 87 kertas siasatan membabitkan penjawat awam

Tarikh: 06/11/2025
img

Kuala Lumpur : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 87 kertas siasatan membabitkan kes rasuah di kementerian dari 2022 hingga 26 September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata angka itu berdasarkan maklumat yang diterima daripada SPRM.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam, menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai jumlah kes rasuah membabitkan penjawat awam dengan pecahan kes mengikut kementerian atau agensi yang terbabit dalam tempoh tiga tahun lalu hingga kini.

Jumlah kertas siasatan paling tinggi dibuka membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dengan 14 kertas siasatan, diikuti Kementerian Dalam Negeri (11).

Selain itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan, masing-masing mempunyai lapan kertas siasatan, diikuti Jabatan Perdana Menteri (JPM) (tujuh) dan Kementerian Pertahanan (enam).

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mempunyai lima kertas siasatan, manakala Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), masing-masing empat kertas siasatan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) masing-masing mempunyai tiga kertas siasatan, manakala Kementerian Ekonomi, Kementerian Komunikasi serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, masing-masing mempunyai dua kertas siasatan.

Pada masa sama, SPRM membuka satu kertas siasatan, masing-masing bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Sementara itu, lapan kementerian tidak mempunyai sebarang kertas siasatan membabitkan kes rasuah, iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Digital, Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Luar, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Sumber: hMetro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel