SPRM buka tujuh kertas siasatan kes FELDA, FIC

Tarikh: 03/09/2026
img

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata penyiasatan khas berskala besar yang dinamakan sebagai OPS FELLA itu memfokuskan kepada transaksi pelaburan serta pengambilalihan aset oleh pihak pengurusan FELDA dan FIC dalam tempoh 10 tahun iaitu antara tahun 2010 hingga 2020.

Daripada jumlah itu, enam kertas siasatan baharu sudah dibuka pada 24 Ogos lalu, manakala satu lagi adalah kertas siasatan lama yang masih aktif dan sedang menjalani proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).

"Enam kertas siasatan baharu itu dibuka membabitkan isu pembelian dan pelaburan aset pada harga yang melebihi penilaian sebenar, sekali gus dipercayai menyebabkan kerugian dialami oleh pihak FELDA secara keseluruhannya," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Pembelian beberapa hotel

Menurut Abd Halim, kertas siasatan berkenaan merangkumi isu pelaburan Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd yang berpusat di Limbang, Sarawak; pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah serta pembelian Grand Plaza Service Apartments di London.

"Siasatan turut difokuskan kepada penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd, pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House serta dugaan penyelewengan dalam pembangunan Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

"Satu kertas siasatan lama yang masih belum ditutup dan kini dalam proses MLA membabitkan hartanah Park City Grand Plaza turut diteliti semula secara selari, menjadikan keseluruhan kes yang dikaji beroperasi di bawah tujuh kertas siasatan," katanya.

Tambahnya, SPRM sudah memanggil seramai 12 individu bagi membantu penyiasatan serta merakam kenyataan.

"Mereka terdiri daripada tiga individu Ahli Lembaga Pengarah FIC, seorang setiausaha FIC, dua individu Bahagian Perundangan FIC, seorang jurunilai, tiga individu daripada firma guaman, seorang pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur serta seorang pegawai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kuala Lumpur.

"Beberapa tangkapan dijangka dilakukan dalam masa terdekat secara berperingkat.

"Tidak dapat dinafikan bahawa akan terdapat beberapa tangkapan dilakukan dalam masa terdekat ini dan ia dijangka bermula seawal awal minggu hadapan.

"Nilai rasuah keseluruhan masih dalam proses dikenal pasti memandangkan siasatan masih di peringkat awal," katanya.

Laporan mengenai kualiti anak benih sawit

Dalam pada itu, Abd Halim berkata, SPRM turut menerima maklumat daripada Pengerusi Pertubuhan Badan Bertindak Generasi Felda (PBBGF) berhubung kebimbangan kualiti anak benih sawit serta pelaksanaan program tanam semula di Felda Palong 7, Negeri Sembilan yang membabitkan manfaat kira-kira 450 peneroka.

"Laporan susulan itu dibuat selaras dengan ketetapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu setiap kelemahan dan ketirisan dalam pengurusan FELDA ditangani sepenuhnya.

"Pihak pengurusan FELDA juga wajar untuk melantik firma audit forensik sendiri. FELDA mempunyai peruntukan dan kewibawaan, jadi eloklah mereka melantik audit forensik sendiri bagi membantu pihak kami menjalankan penyiasatan," katanya.

Beri peluang siasatan profesional

SPRM berharap semua pihak memberikan peluang dan juga ruang untuk pihaknya melaksanakan siasatan lengkap berlandaskan prinsip undang-undang.

"Diharapkan tidak ada pihak membuat spekulasi atau andaian yang boleh menjejaskan kelancaran proses penyiasatan yang sedang dijalankan. 

"Ini penting bagi memastikan hak serta kepentingan negara dapat dipelihara dan juga hak serta kepentingan individu juga dapat dipelihara dan dijelaskan sekali gus menjamin imej serta kredibiliti negara," katanya.


Sumber : Berita harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel