PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dua lelaki warga Bangladesh bagi menghadiri prosiding perbicaraan membabitkan pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 (Akta 694) di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada Julai, Ogos dan September 2026.
SPRM memaklumkan individu bernama Fardin Mahi, yang merupakan saksi pertama pendakwaan gagal dihubungi walaupun usaha mengesan telah dibuat di alamat terakhirnya iaitu No 6, Level 16, Block A, Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, 50100, Kuala Lumpur.
Turut gagal dikesan, Md Sumon Hossain yang beralamat terakhir di Residensi Pandanmas, Blok B-20-05, Lorong Delapan, Kampung Pandan, 55100 Kuala Lumpur.
"Kedua-dua individu ini dikehendaki hadir pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan, iaitu pada 13 dan 14 Julai; 3, 4, 10, 11, 12, 13, 17, 18 dan 19 Ogos; serta 3 Sept 2026 di Mahkamah Kuala Lumpur," menurut SPRM.
Menurut kenyataan SPRM, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua individu berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Mohd Hafifi Rahmat di talian 018-6632034 atau talian 03-92065000 atau emel hafifi.rahmat@sprm.gov.my.
– BERNAMA