Kuala Lumpur: Wanita yang muncul dalam satu video bersama ahli perniagaan, Albert Tei sedang dikesan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Wanita itu dikesan untuk membantu siasatan SPRM berhubung kes Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
SPRM meminta wanita itu hadir ke Pejabat SPRM bagi memberi keterangan, memandangkan individu berkenaan dikesan penting dalam kes berkenaan.
"SPRM kini sedang berusaha mengesan wanita berkenaan dan meminta agar individu itu dapat hadir ke Pejabat SPRM pada 1 Disember ini.
"SPRM juga sudah menghubungi Tei (Albert) dan meminta dia datang ke Pejabat SPRM pada tarikh yang sama," katanya.
SPRM turut mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara bebas dan menyeluruh.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya akan menjalankan siasatan segera berhubung tohmahan pemberian rasuah oleh Albert kepada Shamsul Iskandar.
Beliau berkata, pihaknya akan memanggil individu yang membuat dakwaan berkenaan iaitu Albert serta individu yang dinamakan dalam dakwaan itu pada masa terdekat untuk memberi keterangan.
Dalam video yang tular sejak beberapa hari lalu, seorang wanita dilihat berada dalam satu ruang dan berbual atau berbincang dengan Albert.
Kelmarin, Shamsul Iskandar mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Shamsul Iskandar dalam kenyataan di platform X berkata, terdapat percubaan untuk menyerang dirinya dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan MADANI.
Terdahulu, Anwar dalam satu kenyataan menerima peletakan jawatan Shamsul Iskandar dan menegaskan SPRM bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan luar berhubung tuduhan terhadap bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu.
"Saya menerima peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan, saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin dan mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau," kata Perdana Menteri dalam kenyataan itu.
Berhubung tuduhan yang timbul, Anwar menegaskan bahawa SPRM bebas untuk menjalankan siasatan segera tanpa sebarang campur tangan luar.
"Kerajaan MADANI kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang," tambahnya.
Sumber: Berita Harian Metro