SPRM, China teroka peluang perluas kerjasama institusi antirasuah

Tarikh: 21/10/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kedutaan Republik Rakyat China meneroka peluang memperluas kerjasama institusi antirasuah melalui pertukaran lawatan serta perkongsian pengetahuan dan pengalaman bagi meningkatkan keupayaan institusi kedua-dua negara.

SPRM memaklumkan, perkara itu dibincangkan pada pertemuan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dengan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing pada majlis makan tengah hari di kediaman rasmi duta besar itu, di sini semalam.

Menurut SPRM, kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan automasi, selain keperluan meningkatkan kemahiran bagi menghadapi perubahan teknologi.

"Majlis itu menjadi platform bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan Malaysia-China serta meneroka peluang perkongsian pengalaman dan kerjasama antara institusi kedua-dua negara, selain memahami pendekatan yang boleh diteliti mengikut kesesuaian mandat dan keperluan institusi," menurut SPRM dalam kenyataan.

Perbincangan turut merangkumi pendidikan, pelancongan dan pemeliharaan warisan budaya sebagai antara bidang yang menyumbang kepada hubungan lebih erat serta persefahaman antara rakyat Malaysia dan China.

SPRM memaklumkan, pertemuan itu berlangsung pada hari terakhir Yujing yang berkhidmat di Malaysia selepas enam tahun memegang jawatan Duta Besar Republik Rakyat China ke negara ini.

Pada majlis itu, Abd Halim merakamkan penghargaan atas persahabatan, sokongan dan hubungan baik yang terjalin sepanjang tempoh perkhidmatan Yujing, selain menghargai sambutan mesra serta layanan yang diberikan kepada delegasi SPRM.

Turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Mohd Hafaz Nazar; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan, Datuk Saiful Ezral Arifin; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Datuk Rasidah Abdul Karim; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Datuk Norhaizam Muhammad serta Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Ismajuri Ismail.

Sementara itu, Kedutaan China di Malaysia diwakili Menteri-Kaunselor, Lin Shiguang, Kaunselor Polis, Zhang Weikang; Setiausaha Polis Kedua, Li Xianfeng dan Setiasaha Polis Ketiga, Shi Longxiang.

Sumber : Berita Harian Online


MACC FM
My Anti-Corruption Channel