SPRM dah siasat projek KKDW, tolak tuduhan LGE

Tarikh: 27/11/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan mengamalkan siasatan secara dua darjat (double standard), sebaliknya menegaskan segala siasatan adalah berlandas fakta, bukti dan undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu.

Kenyataan itu adalah sebagai menjawab kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang menuduh agensi antirasuah itu mengamalkan penyiasatan terpilih dalam menyiasat kontroversi pelanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) serta isu perbelanjaan berlebihan RM2.1 bilion oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

SPRM berkata, dalam siasatan terhadap KKDW, antaranya membabitkan isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB), ia sudah pun dimulakan pada 7 Oktober lalu dengan pelbagai tindakan diambil.

"Antaranya, SPRM sudah memanggil seramai 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan sudah dirakam percakapan setakat ini.

"Malah siasatan masih berjalan dan segala maklumat serta keterangan yang diperoleh sedang diteliti bagi memastikan setiap aspek berkaitan isu berkenaan disiasat secara menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng semalam dilaporkan turut mendakwa SPRM dilihat mengambil tindakan segera terhadap kes membabitkan KLSCAH, namun tiada tindakan sama berhubung perbelanjaan kementerian diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melebihi peruntukan belanjawan diluluskan.

Mempersoalkan perkara itu di Facebook, bekas Menteri Kewangan itu juga menyatakan, SPRM melancarkan siasatan segera kerana satu kementerian dipimpin oleh menteri DAP, manakala satu lagi boleh dilengah-lengahkan kerana ia dipimpin oleh menteri UMNO.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengesahkan pegawainya diarah SPRM itu untuk memberi keterangan berhubung kontroversi pelanjutan pajakan tanah KLSCAH.

Menjawab dakwaan itu lagi, SPRM turut menegaskan, dakwaan amalan siasatan dua darjat itu tidak berasas serta tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti dan tatacara kerja suruhanjaya berkenaan.

Agensi itu juga mengingatkan sebarang kritikan perlu berlandaskan fakta sahih, bukan persepsi atau andaian semata-mata.

"SPRM memberi komitmen untuk menjalankan tugas secara profesional, bebas, adil dan telus bagi memelihara prinsip kedaulatan undang-undang," katanya.


Sumber; Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel