Seremban: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan dan Polis Kontinjen Negeri Sembilan memperkemaskan integriti dalaman terlebih dahulu sebelum jihad menentang rasuah di luar.
Komitmen itu dibuktikan SPRM melalui kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan pada kunjungan hormat ke atas Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, semalam.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail berkata, prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik harus menjadi pegangan semua pihak.
"Inilah yang menjadikan PDRM Negeri Sembilan antara pasukan polis yang cemerlang di negara ini," ujar beliau ketika sesi kunjungan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar; Ketua Pegawai Keselamatan Istana Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Mohd Nasharuddin Mohd Shariff; Timbalan Pengarah Operasi SPRM, Mohd Yussof Awang Osman dan Timbalan Pengarah Pencegahan, Fatimah Hamid.
Awangkok Ahmad Taufik Putra berkata, kunjungan itu menjadi platform memperkukuh kerjasama dalam meningkatkan integriti, memperkemas tadbir urus serta mengukuhkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan di Negeri Sembilan.
"Kedua-dua pihak turut membincangkan ruang kolaborasi bagi tahun 2026 termasuk perkongsian maklumat operasi, kerjasama pencegahan rasuah dan usaha memperkukuh keyakinan awam terhadap agensi penguatkuasaan," katanya.
Dalam sesi mesra itu, SPRM dan PDRM menegaskan komitmen untuk memperkukuh sinergi rentas agensi dalam menangani isu integriti, gejala rasuah dan keselamatan.
"Usaha membasmi rasuah bukan sahaja dipikul SPRM, malah ia juga menjadi tanggungjawab pelbagai agensi, khususnya PDRM," kata Alzafny.
Sumber: Berita Harian Metro