Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan untuk mendapatkan perintah Mahkamah Sesyen, bagi melucut hak harta keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
Bagaimanapun, keluarga Daim hari ini berjaya mendapat perintah larangan bersuara sementara supaya butiran mengenai identiti pihak yang dinamakan sebagai responden dan harta berkenaan tidak didedahkan.
Permohonan larangan bersuara itu juga tidak dibantah Pendakwa Raya yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya M Esther Jacyntha
Pada prosiding hari ini, peguam Nizamuddin Abdul Hamid mewakili responden memberitahu mahkamah, beliau memaklumkan kepada pendakwaan, bahawa pihaknya akan memohon perintah larangan terhadap pendedahan maklumat sensitif yang boleh menjejaskan anak guam.
Beliau berkata, perintah berkenaan membabitkan larangan menyiarkan nama individu, nombor akaun bank, dan maklumat lain yang bersifat peribadi.
"Maklumat terbabit tidak boleh didedahkan, bukan mengenai prosiding, tetapi membabitkan hak peribadi anak guam berkaitan maklumat sensitif," katanya.
Melalui notis permohonan yang difailkan pada 28 November lalu, Pendakwa Raya memohon perintah daripada mahkamah untuk melucut hak harta terbabit.
Ia juga memohon, perintah untuk disiarkan dalam Warta mengikut Seksyen 41(2) Akta SPRM bagi memanggil mana-mana orang yang mempunyai kepentingan terhadap harta berkenaan, hadir mahkamah.
Pihak berkepentingan itu hendaklah menunjukkan sebab mengapa harta berkenaan tidak patut dilucuthak dan seterusnya memohon mahkamah melucuthak harta itu di bawah Seksyen 41(3) akta sama.
Permohonan itu juga menyatakan, Pendakwa Raya di bawah kuasa-kuasa yang diberi oleh Seksyen 41(1) Akta SPRM dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah berpuas hati bahawa harta itu yang telah disita oleh SPRM, dilucuthak, di mana tiada pendakwaan jenayah atas suatu kesalahan di bawah akta berkenaan.
Ia juga menyatakan bahawa harta terbabit adalah berkaitan dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM (gagal mematuhi notis mengisytiharkan harta).
Hakim Rosli Ahmad kemudian membenarkan permohonan perintah larangan bersuara dan menetapkan pada 4 Februari ini untuk prosiding untuk pihak ketiga yang berkepentingan hadir ke mahkamah.
Sementara itu, Nizamuddin dalam kenyataan media, berkata, seperti permohonan sebelum ini, ia juga tidak menyatakan kesalahan yang didakwa telah dilakukan mengikut Akta SPRM atau mana-mana undang-undang bertulis yang berkaitan, melainkan tuduhan berkaitan pematuhan tatacara siasatan di bawah Seksyen 36.
Nizamuddin berkata, siasatan terhadap keluarga Allahyarham Daim dimulakan oleh pihak berkuasa sejak Februari 2023 dan kini selepas hampir tiga tahun, masih tiada sebarang jawapan di sebalik semua usaha anak guamnya untuk mendapatkan penjelasan terbuka.
"Kegagalan dan salah guna kuasa secara berterusan ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai pematuhan terhadap kedaulatan undang-undang.
"SPRM sebagai sebuah agensi penguatkuasaan perlu menjalankan kuasa mengikut kedaulatan undang-undang dan tidak terus menindas anak guam kami.
"Anak guam kami berharap mereka tidak terus menjadi sasaran salah guna kuasa oleh badan penguatkuasaan apabila isu yang membabitkan kerajaan timbul.
"Anak guam kami percaya sebarang salah guna kuasa atau tindakan untuk mengalih perhatian rakyat Malaysia daripada isu sebenar kepimpinan negara adalah satu pembaziran wang rakyat, masa penjawat awam dan juga mahkamah," katanya.