SPRM, FBI, Jabatan Kehakiman AS adakan perbincangan di Washington, New York

Tarikh: 15/12/2025
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan lawatan rasmi ke Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) di Washington serta New York pada 9 dan 11 Disember lalu.

Lawatan itu diketuai Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin. Ia turut disertai Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara (AGC), Norinna Bahadun.

Ketika lawatan itu, perbincangan diadakan bersama Ketua Seksyen FBI Washington, Spencer Horn Chris Padurano manakala di New York dengan ketua bahagiannya, Paul Roberts. Terdahulu, lawatan ke Washington disambut Atase FBI ke Malaysia, Varinder Singh.

Sesi perbincangan di Ibu Pejabat FBI dan Jabatan Kehakiman AS di Washington serta New York adalah bagi mengeratkan kembali kerjasama dan kolaborasi di peringkat global antara dua agensi penguatkuasaan.

Selain itu, ia juga bertujuan memperkukuhkan kerjasama penyiasatan, proses bantuan perundangan bersama (MLA), serta usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB yang masih berada di luar negara.

Menurut kenyataan SPRM, pihak FBI dan Jabatan Kehakiman AS menegaskan komitmen penuh terhadap kerjasama rentas sempadan serta koordinasi antarabangsa dengan SPRM, AGC dan NFCC dipertingkat bagi memastikan semua aset yang masih berada di luar negara dapat dijejak, disita dan dipulihkan mengikut undang-undang.


Sumber :Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel