SPRM-FMFF anjur Program Pembudayaan Antirasuah dan Tadbir Urus Terbaik

Tarikh: 10/08/2023
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganjurkan Program Pembudayaan Antirasuah dan Tadbir Urus Terbaik bagi mencegah ketirisan dalam kutipan hasil kerajaan dalam industri logistik.

 

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Persekutuan Penghantar Fret Malaysia atau Federation of Malaysian Freight Forwarders (FMFF) yang mempunyai 1,500 ahli dalam kalangan pemain industri logistik.

 

Ketua Cawangan Swasta Bahagian Pendidikan Masyarakat (Penmas) SPRM Mohd Hasraff Hashim berkata, pembaharuan dalam operasi harian yang bebas rasuah perlu bermula daripada keinginan kolektif di setiap peringkat.

 

"Penerapan nilai-nilai baik dan amalan perniagaan bebas rasuah merupakan tanggungjawab pengurusan tertinggi sehinggalah ke pekerja sokongan di bawah dan SPRM melalui Bahagian Pendidikan Masyarakat.

 

"Selaku bahagian yang memberikan pendidikan pencegahan rasuah sentiasa bersedia berkolaborasi dengan mana-mana pihak bagi mengadakan program-program anti rasuah," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Hadir sama, Pengerusi FMFF, Alvin Chua Seng Wah berkata, program seumpama itu perlu diteruskan dalam usaha meningkatkan fahaman pemain industri bagi memantapkan operasi harian.

 

"Kerjasama strategik antara badan kerajaan dan swasta penting demi membendung gejala rasuah daripada berleluasa," katanya.

 

Mengulas lanjut, Mohd Hasraff berkata, program itu membabitkan sesi penerangan dan dialog membabitkan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 melibatkan pemain industri dan pihak pelabuhan.

 

 

Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel