Kuala Lumpur: Sejumlah mata wang asing bernilai kira-kira RM5 juta ditemukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menggeledah sebuah pangsapuri di sini, yang didakwa dijadikan 'safehouse' seorang ahli politik berpengaruh semalam.
Tindakan adalah susulan penahanan dua individu baru-baru termasuk seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) berkait siasatan skandal rasuah jutaan ringgit berhubung konsesi perlombongan pasir di bawah anak syarikat cabang pelaburan negeri itu.
Menurut sumber, kedua-dua suspek didakwa ada kaitan dengan ahli politik terkenal yang pernah mempunyai pengaruh politik di Selangor.
"Susulan penahanan itu, seorang suspek mendedahkan kewujudan 'safehouse' yang bertujuan menyimpan wang hasil rasuah milik seorang ahli politik berpengaruh.
"Penggeledahan dilakukan pada sekitar jam 10 malam semalam di sebuah pangsapuri bertempat di Kuala Lumpur di mana ia disewa oleh seorang ahli perniagaan sebagai tempat penyimpanan wang hasil rasuah yang diperolehi," katanya.
Sumber berkata, hasil penggeledahan menemui sejumlah wang mata wang Singapura SGD1,529,000 atau kira-kira RM5 juta.
"Wang disimpan bertujuan untuk kegunaan ahli politik berkenaan bagi aktiviti politiknya. Wang ini sudah disita oleh SPRM bagi siasatan lanjut.
"Dipercayai wang ini diberikan oleh seorang individu yang belum dikenal pasti identitinya dan disimpan oleh ahli perniagaan ini atas arahan ahli politik berpengaruh terbabit," katanya.
Sumber juga berkata, SPRM sudah membekukan kira-kira 15 akaun bank milik beberapa individu dan syarikat, termasuk yang dipercayai penyiasat digunakan untuk menyalurkan rasuah.
"SPRM ketika juga sedang menyiasat pembabitan ahli politik berpengaruh itu. Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 16, Akta SPRM 2009," katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua suspek terbabit
"Saya sahkan ada dua orang ditangkap yang (didakwa) terbabit dalam perbuatan rasuah berhubung mendapat konsesi pasir daripada MBI," katanya.
Sumber: Harian Metro