KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) hari ini menggempur sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi milik persatuan nelayan dan disyaki memberi rasuah kepada penguat kuasa di Sibu, Sarawak sebagai balasan menyembunyikan tindakan berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata menerusi siasatan dan risikan, sindiket yang dipercayai sudah beroperasi sejak 2012 itu mengaut keuntungan sehingga RM400 juta.
Katanya, sindiket berkenaan dipercayai menjual minyak diesel bersubsidi untuk kegunaan nelayan kepada pihak luar pada kadar harga tertentu.
"Sindiket ini dipercayai memindahkan minyak diesel berkenaan daripada tangki yang dikhaskan untuk nelayan ke dalam tongkang yang berlabuh di depoh berkenaan.
"Kemudian, minyak daripada tongkang terbabit dipercayai dipindahkan ke kapal milik pembeli dari negara luar pada sebelah malam bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Azam berkata, dalam serbuan itu, SPRM turut menyita dua tongkang serta beberapa tangki minyak membabitkan kira-kira 1.6 juta liter diesel.
Katanya, serbuan dijalankan secara bersama oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) dan Skuad Taktikal Khas SPRM selain turut disertai pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah depoh penyimpanan minyak di Sungai Bidut, di sini.
Ketika serbuan, katanya, terdapat dua tongkang yang sedang berlabuh dan masing-masing sudah diisi dengan kira-kira 160,000 dan 100,000 liter minyak diesel, selain terdapat 30 tangki minyak yang dipercayai tidak mempunyai permit untuk menyimpan diesel terbabit.
Katanya, SPRM turut menahan lima individu membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 60-an di Pejabat SPRM Cawangan Sibu ketika mereka hadir memberikan keterangan pada jam 4 petang tadi.
"Mereka yang ditahan termasuk empat pengusaha stesen minyak yang dipercayai menjadi dalang kegiatan penyeludupan minyak diesel itu serta seorang orang tengah yang dipercayai terbabit dalam urusan jual beli dengan pembeli luar.
"Susulan operasi ini, SPRM menyita wang tunai kira-kira RM3.7 juta, dua tongkang serta 30 tangki membabitkan kira-kira 1.6 juta liter diesel di depoh terbabit.
"Kesemua sitaan minyak diesel terbabit diserahkan kepada KPDN bagi tujuan penjualan semula kepada pelesen yang sah," katanya.
Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Sibu bagi proses permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sumber: Berita Harian