SPRM gesa Muhammad Adlan, Mansoor pulang segera hadapi siasatan

Tarikh: 22/08/2023
img

KUALA LUMPUR: Menantu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan serta seorang peguam, Mansoor Saat diingatkan sekali lagi agar tidak memberi alasan sebaliknya pulang segera ke negara ini bagi menghadapi siasatan yang sedang dijalankan terhadap mereka.

 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, beliau tetap dengan pendiriannya dan tidak mahu mendengar pelbagai alasan diberikan oleh kedua-duanya.

 

“Balik saja dan jangan bagi banyak alasan.Saya tetap dengan pendirian saya. Awak balik saja dan hadapi apa jua siasatan dan jangan bagi banyak alasan, saya tidak mahu dengar.

 

“Mungkin cakap saya ini cakap yang orang tidak suka tetapi itulah saya. Jadi awak berdua, balik saja dan jangan bagi alasan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada media selepas Forum Eksekutif Merdeka, Tadbir Urus Terbaik Dalam Sektor Awam di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini, hari ini.

 

Forum itu disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

 

Terdahulu, Mansoor, 69, menyangkal dakwaan melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan.

 

Tegasnya pada kenyataan media, beliau bukan seorang pelarian dan tidak melarikan diri, selain sudah memberi kerjasama kepada SPRM yang mengetahui keberadaannya.

 

Katanya, tindakan keluar dari Malaysia dibuat secara sah atas urusan perniagaan, namun ia kini digunakan terhadapnya sebagai isyarat seolah-oleh dirinya bersalah.

 

Sebelum ini, Muhammad Adlan turut dilapor menegaskan tidak pernah ditangkap atau dihubungi SPRM selepas didakwa melarikan diri ke luar negara dan dimasukkan dalam senarai orang dikehendaki agensi itu.

 

Semakan rekod mendapati, Muhammad Adlan dan Mansoor meninggalkan Malaysia masing-masing pada pada 17 Mei dan 21 Mei lalu dengan tiada rekod kembali ke tanah air.

 

Pada 10 Ogos lalu, Azam pernah meminta ahli perniagaan, Muhammad Adlan yang kini berada di luar negara untuk kembali berurusan dengan pihaknya tanpa sebarang alasan.

 

Azam turut menafikan SPRM baru mencari menantu bekas Perdana Menteri itu, sebaliknya agensi berkenaan sudah beberapa kali mencuba menghubungi beliau.

 

 

Sumber: Utusan Malaysia

MACC FM
My Anti-Corruption Channel