SPRM guna teknologi bantu siasatan kes rasuah

Tarikh: 26/09/2025
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memaksimumkan tenaga kerja serta kepakaran dengan menggunakan teknologi sedia ada, khususnya dalam menyiasat kes rasuah kini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata hala tuju serta strategi agensi itu pada tahun ini ialah memfokus kepada perolehan kerajaan, sektor penguatkuasaan, dana awam atau peruntukan khas kerajaan, serta hasil dan pendapatan negara.

Beliau menekankan perkara itu dalam ucapan alu-aluan pada mesyuarat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM Bil 1 Tahun 2025 (Onboarding Session) di Ibu Pejabat SPRM, di sini, semalam.

"Objektif mesyuarat hari ini ialah memberikan gambaran menyeluruh berkenaan struktur organisasi, hala tuju dan strategi SPRM dalam mendepani cabaran memerangi rasuah di negara ini.

"Ia agar isu serta cadangan yang bakal dikemukakan oleh LPPR dalam Buku Ulasan LPPR adalah seiring dengan hala tuju, strategi SPRM dan agenda nasional," katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya, serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi.

Pada mesyuarat itu, Azam turut menerangkan fungsi SPRM sebagaimana diperuntukkan bawah Seksyen 7 Akta SPRM 2009 dan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Sementara itu Pengerusi LPPR, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, berharap mesyuarat berkenaan dapat menjadi platform untuk menyuarakan sebarang isu bersesuaian dengan peranan badan pemantau bebas sebagai mekanisme semak dan imbang kepada SPRM.

Beliau berkata, ia bagi memastikan SPRM melaksanakan mandatnya dengan penuh ketelusan, profesionalisme serta kebebasan mutlak daripada sebarang tekanan.


Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel