SPRM hargai usaha jurulatih ILTP Papar laksana Kursus Integriti dan Antirasuah TVET

Tarikh: 18/09/2023
img

Papar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakamkan penghargaan kepada usaha jurulatih Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Negeri Sabah atas usaha melaksanakan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat Institut Latihan Teknik Dan Perdagangan (ILTP), di sini, hari ini.

Ia dizahirkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali ketika mengadakan lawatan kerja dan pemantauan di Kampus ILTP Papar.

"KIAR JPSM Sabah adalah program pertama dalam usaha menyebar luas mesej antirasuah kepada pelajar aliran TVET sejak diperkenalkan pada 9 Julai 2021.

"Ia juga menjadi penanda aras kepada usaha yang sama melibatkan institusi TVET lain di bawah Kementerian Belia Dan Sukan (KBS), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)," katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Kursus KIAR bersama Pengarah JPSM Sabah, Dg Norsiah Pg Duraman.

Beliau berkata, pihaknya menghargai usaha JPSM dan semua jurulatih ILTP Papar kerana komited mengajar KIAR.

"Maklum balas daripada jurulatih dan pelajar adalah sangat baik.

"SPRM mengambil maklum cadangan menambah baik modul dan kaedah pengajaran agar subjek yang dikongsi boleh memberi nilai tambah bukan sahaja bagi tujuan akademik, malah sebagai asas kepada permulaan kerjaya atau menjalankan perniagaan kelak," katanya.

Katanya, tugas memerangi rasuah bukan hanya tugas SPRM semata-mata tetapi semua pihak perlu mengambil tanggungjawab untuk memeranginya.

"Jika usaha ini dipergiat dan dilakukan secara bersama-sama, tidak mustahil kes rasuah akan berkurangan dan Malaysia boleh bebas dari rasuah," katanya.

Dalam pada itu, Norazlan turut dibawa melawat ke kelas KIAR yang sedang berlangsung dan berpeluang menyampaikan kata-kata semangat kepada 50 pelajar mengenai halatuju program dan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada kemajuan negara yang bersih dari rasuah.

Sumber: Kosmo Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel